06.27.08

Bahasa Arab Melalui Al-Quran

Posted in Pembelajaran at 4:50 am by Al-Ustaz

Penggunaan al-Quran untuk tujuan mengajar ilmu bahasa Arab terutama nahu (grammar) itu sendiri telah mendapat perhatian yang utama oleh para nuhat (ahli-ahli nahu) sejak zaman berzaman. Bermula daripada Abu Aswad al-Duali yang telah menyahut seruan saidina Ali K.W dalam meletakkan asas ilmu nahu setelah beliau mendengar adanya lahn (kesalahan daripada segi nahu) dalam pembacaan al-Quran. 

Sibaweih (180H) dalam bukunya ‘al-Kitab’ juga menggunakan dalil ayat-ayat al-Quran sebagai bukti kepada kaedah-kaedah nahu. Penggunaan dalil daripada ayat-ayat al-Quran untuk membuktikan ketepatan kaedah nahu dipanggil dengan istilah “syahid al-quran”. Syahid al-quran yang pertama digunakan oleh Sibawieh di dalam kitabnya adalah ketika membincangkan tentang kalimah iaitu tajuk pertama tentang ilmu nahu. 

Sekiranya dilihat pula Ibnu Hisham (761H) maka beliau juga menggunakan syahid al-Quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu bahasa Arab. Di dalam bukunya “syarh qatr al-nada wa bal al-sada” penggunaanya (syahid al-quran) yang pertama adalah dalam bab al-kalimah apabila beliau membawa ayat al-quran sebagai dalil kepada jumlah mufidah. 

Begitu juga Ibnu ‘Aqil (769H) yang juga tidak ketinggalan dalam menggunakan syahid al-Quran ini di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu. Syahid al-Quran yang pertama di dalam kitabnya “syarh ibn ‘Aqil” ialah apabila beliau memperkatakan juga tentang al-kalam (iaitu al-kalimah). 

Jikalau ada pihak yang mengatakan Ibnu Hisham dan Ibnu ‘Aqil kedua-duanya adalah “syarih” (orang yang melakukan huraian) kepada matan Ibnu Malik (alfiah) yang bersifat “nazam atau syair” maka sepatutnya lah mereka menggunakan al-Quran, maka kita lihat pula kepada ulama-ulama nahu yang melakukan huraian kepada matan al-ajrumiyah (bukan syair) yang juga menggunakan syahid al-Quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu. 

Kita ambil contoh al-Syeikh muhammad Ab al-Bariy (1298H) yang telah menulis nota tentang matan bekenaan menggunakan syahid al-Quran pada permulaan bab nahu lagi iaitu bab al-ikrab dan al-bina’ manakala al-syarih bagi matan al-ajrumiyyah pula iaitu al-Syiekh muhammad al-Ra’aini menggunakan syahid al-Quran, dan syahidnya yang pertama datang dari bab al-kalam. 

Sekiranya kita perhatikan ulama-ulama nahu terdahulu, mereka sangat berpegang teguh dengan al-quran di dalam pengajaran mereka tentang kaedah-kaedah nahu. Sehinggakan pada permulaan bab lagi mereka telah menggunakan al-Quran sebagai bukti atau dalil ketepatan kaedah yang dibawa. 

Tetapi apabila kita merujuk kepada kitab-kitab pengajaran nahu yang ditulis oleh ulama-ulama kini, maka kita dapati sebahagian daripada mereka menggunakan al-quran dan sebahagian yang lain pula tidak menggunakan al-quran langsung di dalam menerangkan kaedah-kaedah nahu. 

Di antara kitab-kitab nahu yang masih menggunakan al-quran sebagai bukti ketepatan kaedah nahu adalah seperti kitab ‘jami al-durus’ yang dikarang oleh al-Ghalayini (1912), kitab ‘al-tatbiq al-nahwi’ karangan Dr. Abduh al-Rajihi (1988), dan juga kitab terbaru yang mengemukakan huraian (syarh) kepada matan al-ajrumiyyah yang telah dilakukan oleh Muhammad Mahyu al-Din Ab Hamid yang dinamakan dengan ‘al-tuhfatu al-saniyyah’ juga tidak ketinggalan menggunakan syahid al-quran sebagai hujjah membuktikan ketepatan nahu bahasa Arab. 

Manakala kitab-kitab yang tidak menggunakan syahid al-quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu adalah seperti kitab ‘al-nahwu al-wadhih’ tidak menggunakan syahid al-quran pada kedua-dua jilid (untuk marhalah ibtidaiyah dan thanawiyyah). Begitu juga buku-buku ringkasan nahu bahasa Arab yang digunakan di sekolah-sekolah juga tidak menggunakan syahid al-Quran ini. 

Kesimpulan daripada kajian yang sedikit ini (jika boleh dikatakan) bahawa terdapat kaitan yang jelas di antara menggunakan syahid al-quran dalam kaedah pengajaran bahasa Arab dengan penguasaan ilmu bahasa Arab itu sendiri dalam kalangan pelajar-pelajar. Maksudnya, kemungkinan kesukaran pelajar-pelajar dan kelemahan mereka menguasai ilmu bahasa Arab kerana mereka kini telah jauh daripada al-Quran itu sendiri yang mana suatu ketika dahulu didekatkan oleh guru mereka melalui kaedah penggunaan syahid al-Quran. 

Hal ini demikian kerana kaitan al-quran itu sendiri dengan bahasa Arab adalah diibaratkan seperti isi dengan kuku. Tidak sempurnalah jari yang tidak mempunyai kuku tetapi hanya ada isinya sahaja dan begitulah sebaliknya. 

Jadi usaha untuk memantapkan kembali penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar adalah dengan mengembalikan mereka kepada kaedah sebagaimana yang diasaskan oleh ulama terdahulu, di antaranya adalah menggunakan al-Quran di dalam pengajaran nahu bahasa Arab itu sendiri. 

Sesungguhnya mukjizat al-quran yang maha suci itu memungkinkan pelajar mudah faham tentang kaedah-kaedah nahu yang nampak seakan-akan terlalu susah kini. Mudah-mudahan usaha mengembalikan al-quran bersama kaedah pengajaran nahu akan memantapkan kembali penguasaan nahu dan bahasa Arab itu sendiri. 

 

 

13 Comments »

  1. maslina said,

    July 2, 2008 at 1:15 am

    Maaf ustaz, saya ingin bertanya..maksud ‘jaris’ adakah ia bermaksud “kurnia Allah” ataupun “loceng?”

  2. Al-Ustaz said,

    July 2, 2008 at 2:16 am

    ust tak pasti makna jaris, tetapi ja’is = kurnia, jaras = loceng

  3. maslina said,

    July 2, 2008 at 4:04 am

    Syukran ustaz!

  4. zuhara said,

    August 15, 2008 at 3:25 am

    assalamu’alaikum ustaz.. saya nak tanya, bila buku belajar bahasa arab siri 3 akan dikeluarkan? mak saya betul-betul mahukanbuku tersebut untuk peperiksaan bahasa arab yang bakal dilalui beliau hujung ogos ini.
    saya harap ustaz dapat balas di sini secepat mungkin atau email saja saya di aleedsfan@yahoo.com

    syukran..

  5. Al-Ustaz said,

    August 15, 2008 at 3:49 am

    zuhara :

    Ebook belajar bahasa arab siri 3 insyaallah akan keluar awal tahun depan. Sentiasa dapatkan perkembangan terkini di website dan blog ustaz ok.

  6. fadhil said,

    September 6, 2008 at 8:36 am

    hurmmm… nampaknya berkembangnya madaris nahwiah ini banyak bergantung kepada jatuh bangunnya sejarah kesusasteraan di tempat- tempat seperti basrah, kufah dan andalus… maka muncullah beberapa madrasah yang ramai dan popular… seperti madrasah kufah, madrasah basrah dan madrasah andalus

  7. Al-Ustaz said,

    September 8, 2008 at 3:50 am

    fadhil : benar, disitulah pusat perkembangan bahasa arab ke seluruh dunia

  8. fadhlin al-asrar said,

    October 8, 2008 at 7:15 am

    ustad, maksud fadhlin tu = kurnia kah?

  9. Al-Ustaz said,

    October 9, 2008 at 2:18 am

    fadhlin :

    ya maksudnya ‘kurnia’, boleh juga dimaksudkan dengan ‘kelebihan’

  10. mdazmi mohamad sukaimi said,

    November 6, 2008 at 1:49 am

    askm uztz. ana azmi ingin meminta cadangan utz yg ana ni tengah tercari2 utk belajar bahasa arab secara cepat kerana ana sedang membuat penyelidikkan islamic management(phd) kerana background ana dalam bahagian teknikal sahaja. ana sekolah biasa je. banyak refrence dalam al quran dan hadis . boleh tak utz cadangkan.utz boleh juga email kat ana di
    mazmi807@perak.uitm.edu.my
    t.kasih askm

  11. Al-Ustaz said,

    November 6, 2008 at 2:12 am

    mdazmi mohamad sukaimi :

    utk belajar bahasa arab secara cepat ni, cuba anta cari2 kat website seperti madinah online. Boleh search di yahoo/google, gunakan keyword ‘belajar bahasa arab’.

  12. fiya said,

    June 11, 2010 at 11:41 am

    maaf ustadZ saya mau tanya,,
    tlong antum jelaskan tentang pemikiran ibn kaisan dalam masalah nahwu

  13. Al-Ustaz said,

    July 6, 2010 at 1:23 am

    fiya :

    anda boleh rujuk buku mengenai aliran nahu ulama bahasa arab.

Leave a Comment