10.17.06

Salam Aidilfitri

Posted in Ucapan at 7:43 am by Al-Ustaz

كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ 

مِنَ العَائِدِيْنَ وَالفَائِزِيْنَ

Ustaz ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Selamat Hari Raya AidilFitri, Maaf Zahir & Batin” khusunya kepada semua pelajar-pelajar ustaz di blog ini dan kepada seluruh umut islam tak kira di mana sahaja berada …

Di dalam kemeriahan dan kegembiraan kita di hari raya ini, janganlah kita lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik, hulurkanlah bantuan kepada mereka agar mereka dapat sama-sama merasakan kebahagiaan hari yang mulia ini.

Di hari yang penuh keberkataan, hari kemenangan bagi umat islam ini, kita digalakkan untuk memperbanyakkan takbir, tasbih dan tahmid, memuji keagongan dan kebesaran Allah.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرَ وَلِلَّهِ الحَمْدُ

Di samping kita berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat taulan, janganlah kita membazir, kerana membazir itu adalah sahabat syaitan.

Kepada yang balik ke kampung  berhari raya, pandulah dengan berhati-hati, semoga selamat sampai ke destinasi, biar lambat, asalkan selamat, ingatlah orang yang tersayang.

Selepas kita berhari raya nanti, jangan lupa untuk kembali menyambung Pelajaran Bahasa Arab anda, kerana perjalanan kita menuntut ilmu itu tiada penghujungnya.

 

10.13.06

Lebih baik daripada 1000 bulan

Posted in Pembelajaran at 2:57 am by Al-Ustaz

Firman Allah :

لَيْلَةُ القَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maknanya : Malam lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan

Tanpa disedari, kita sudah pun berada dipenghujung bulan Ramadhan, iaitu fasa ke-3 (terlepas dari api neraka) dan di dalam fasa inilah Allah ingin melipatkaligandakan rahmatNya kepada hamba-hambaNya.

Allah menganugerahkan satu malam yang dinamakan malam lailalatuqadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Beribadat pada malam tersebut pahalanya seumpama beribadat 1000 bulan iaitu lebih kurang 83 tahun (meliputi keseluruhan umur umat Nabi Muhammad). Inilah masanya untuk kita membuat ibadah dengan bersungguh-sungguh pada malam tersebut.  Jika kita beribadat pada malam ini seolah-olah kita beribadat untuk keseluruhan umur kita atau sepanjang hayat kita. Begitulah hebatnya bonus akhir tahun yang diberikan oleh Allah kepada hambaNya. Bonus ini hanya diberikan setahun sekali dan sesiapa yang terlepas, terpaksalah menunggu pada tahun hadapan sekiranya dipanjangkan umur. Oleh itu janganlah kita melepaskan peluang yang amat berharga ini.

Pada malam lailatulqadar ini, para malaikat akan turun dari langit dan menziarahi rumah-rumah dan tempat-tempat dimana kita beribadat. Tempat yang gelap tanpa ibadat tidak akan dikunjungi. Ia juga dikenali sebagai hariraya untuk para malaikat.

Maka, rebutlah malam lailatulqadar ini, terutamanya pada malam yang ganjil iaitu 21, 23, 25, 27 dan 29. Insyaallah kita akan mendapat kebaikan dan rahmat yang amat besar dari Allah.

10.12.06

Nuzul Al-Quran

Posted in Pembelajaran at 4:26 am by Al-Ustaz

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيْ أُنْرِلَ فِيْهِ القُرْآنُ

هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الهُدَى وَالفُرْقاَنِ

Maknanya : Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penerang hidayah dan pembeza antara yang benar dan yang batil

Bulan Ramdhan ini, adalah bulan yang terkumpul di dalamnya segala rahmat dan keberkataan. Dan pada bulan inilah diturunkan Al-Quran yang menjadi pegangan dan petunjuk kepada semua manusia di dunia ini. Ia juga adalah penerang serta pembeza antara perkara-perkara yang benar dan perkara-perkara yang salah.

Marilah kita membudayakan Al-Quran, jadikanlah ia sebagai teman rapat kita hingga ke liang lahad. Bacalah dan fahamilah isi kandungannya dengan penuh penghayatan dan tawadduk. Basahilah lidah kita dengan ayat-ayat Al-Quran setiap hari, moga kita beroleh kebahagiaan hidup.

10.04.06

Fasa Ke-2 Ramadhan

Posted in Pembelajaran at 3:15 am by Al-Ustaz

Tanpa disedari, waktu berjalan begitu pantas dan kita sekarang telah berada di fasa ke-2 bulan Ramadhan iaitu fasa pengampunan (maghfirah).

Bagi mereka yang terlepas peluang untuk mengaut imbuhan pada fasa pertama (rahmat), maka bersegeralah bangkit semula untuk mengejar dan mengambil peluang dengan sebaik-baiknya pada fasa ke-2 ini.

Marilah kita memperbanyakkan doa memohon keampunan dari Allah pada waktu ini. Ini adalah bonus yang diberikan Allah kepada kita dan janganlah kita melepaskannya. Banyakkan membaca doa ini :

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا

Allahumma innaka ‘afuuwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annaa

Maknanya : Ya Allah, sesungguhnya engkau amat pemaaf, menyukai kemaafan, maka maafkanlah kami

Terjemahan perkataan :

اللَّهُمَّ  (Allahumma) – Ya Allah

إِنَّكَ  (innaka) – sesungguhnya engkau

عَفُوٌّ (‘afuuwun) – pemaaf

تُحِبُّ (tuhibbu) – menyukai

  العَفْوَ (al-’afwa) – kemaafaan

 فَاعْفُ (fa’fu) – maka maafkanlah

عَنَّا (‘annaa) – dari kami

Ayuhlah kaum muslimin dan muslimat sekalian, kita melipatkali gandakan amalan pada bulan Ramadhan ini dan meneruskannya pada malam 10 terakhir dan semoga amalan baik yang kita lakukan pada bulan Ramadhan ini menjadi titik permulaan perubahan ke arah kebaikan untuk diri kita semua demi mencapai keredhaan Allah seterusnya mencapai kejayaan di dunia dan akhirat yang kekal abadi.